Searching...

Sudah adilkah kita terhadap anak anak kita..?

Assalamualaikum wr wb..
Sifat adil adalah satu sifat terpuji dan merupakan dasar yang dibawa oleh Islam. Bermula daripada situlah, Islam memerintahkan kepada setiap Muslim untuk berlaku adil terhadap diri sendiri, iaitu dengan menyeimbangkan antara haknya dan hak Tuhannya serta juga hak-hak orang lain.
Allah telah menurunkan rasulNya dan kitabNya semata-mata untuk menerapkan keadilan di muka bumi ini. Sepertimana firmanNya:
“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan.” (Al Hadid: 25)
Bertitik tolak daripada sini, pernahkan persoalan ini timbul. Adakah kita telah berlaku adil terhadap anak-anak kita? Cuba renungkan…
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu. “(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  • Uraian
Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T yang telah diserahkan kepada ibubapa untuk dijaga dan dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka kerana akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh dan hilang rasa kasih sayang sesama sendiri. Sewajarnya ibubapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih-sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata apatah lagi hubungan antara ibubapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab. Sesungguhnya ibubapa yang berlaku adil akan diberkan ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang tersebut dalam hadith Rasulullah s.a.w, maksudnya:” Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga.” (Abu Daud & Hakim)
Renung-renunglah intipati artikel ini. Jika sekiranya kita salah seorang yang kurang memberi perhatian kepada anak-anak kita atau memberi perhatian secara tidak saksama, maka kita harus perbetulkan apa yang patut. Sama-samalah kita bermuhasabah diri agar kita sentiasa berada di jalan yang benar. Wallahu a’lam....

Sponsor :
 
Back to top!